Wednesday, February 2, 2011

Maafkan aku.

Sahabat.
Coretan ini aku tujukan buat dirimu. Meski aku tidak pasti, apa mungkin engkau membacanya atau tidak. Tahukah dirimu, bahawa aku benar-benar sayang kepadamu. Sayang yang tidak lain hanyalah bertunjangkan cinta dan rindu kepada Rabb. Sayang yang menyeruku untuk merindui peranan dakwah seorang khalifah di muka bumi.

Sahabat.
Kita pernah melalui suka dan duka bersama, melalui rintangan demi rintangan. Tapi entah mengapa, pada ketika 'itu' hatiku merasa sayu. Sayu yang keterlaluan. Ku pujuk hati dengan zikrullah, ku belai jiwa dengan memuji Allah, tapi kenapa sahabat. Kenapa air mata ini seolah-olah tidak berhenti untuk mengalir.

Aku mencintaimu sungguh-sungguh. Cinta yang benar-benar bukan berasaskan duniawi, jelasnya aku ingin ke syurga bersamamu. Berpimpinan tangan dan tersenyum gembira tatkala Allah menunjukkan wajahNya. Seronok bukan sahabat, andai kita mampu bergembira bergelak tawa di satu negeri yang kekal abadi!

Sungguh aku tidak menyangkal, terkadang kaki ini tersalah langkah. Terkadang hati merasa penat dan marah lantaran teguran demi teguran secara berhikmah engkau abaikan, terkadang egomu menggunung tinggi, mengenepikan perasaanku yang terus-terusan ingin mengajakmu menuju redhaNya. Lantas, suaraku terkadang meninggi tanpa ku sedari. Sahabat ketahuilah hakikatnya hatiku terbakar melihat kemaksiatan itu!

Aku cuba bersabar dan bersabar, ku cuba mencicip sedikit sabar dan tauladan yang Rasululullah tunjukkan, ku cuba membelai jiwamu dan cuba mengenepikan segalanya namun sayang aku tewas lagi. Aku sedar, terkadang jiwaku kalut maka aku tidak memahamimu. Aku sungguh-sungguh tidak mampu membiarkan engkau dengan kemaksiatan kerana aku sayang padamu!

Sahabat, aku benar-benar gerun pada amaran Allah akan dosa-dosa yang manusia lakukan. Aku gentar membaca perihal hukuman-hukuman buat mereka yang berdosa. Justeru sahabat, aku ingin menyelamatkanmu. Aku ingin sekali engkau bersamaku dalam mencari cintaNya. Aku akui kata-katamu. Aku bukanlah sesiapa untuk menilaimu. Aku bukan Allah yang tahu segalanya, justeru itulah hatiku terbakar melihat kemaksiatan yang engkau lakukan di hadapan mataku.

Maafkan aku sahabat, atas segala kekurangan diri. Aku juga insan biasa yang masih banyak dosa, bahkan mungkin aku lebih hina darimu disisi Allah. Maafkan aku atas kekuranganku. Maafkan teguranku yang engkau tidak dapat terima. Maafkan aku kerana terlalu menyayangimu.

Dan maafkan aku jika aku masih menangis.

Salam sayang.

No comments:

Post a Comment