Friday, September 9, 2011

Sudahkah Kau Lupa Duhai Akhi Fillah?



Akhi~
Kau yang pernah dan masih aku kagumi kerana agamamu.
Mengapa harus dibuka ruang di hatimu untuk menempatkan cinta makhluk selain cinta Rabbmu?

Mengapa nur yang dahulunya aku lihat di wajahmu,
Semakin pudar di mataku?
Apakah mungkin kerana aku yang tidak layak untuk melihat nur itu?
Ataupun kerana semakin kelamnya hatimu dengan cinta makhluk itu?

Ya, tidak aku menyalahkanmu atas hadirnya perasaan itu.
Namun, kau.
Kau yang aku sangkakan kental dan bahkan mustahil untuk rebah kerana seorang wanita,
Aku lihat semakin ke arah itu.

Akhi~
Meskipun bukan kata cinta yang kau ungkapkan,
Jangan pernah cuba untuk menyiratkan ia dalam kata suratanmu.
Jangan pernah kau cuba untuk palsukan cinta nafsumu dengan cinta dari Allah.

Apakah kau sudah lupa?
Bahawa jika cinta dan rasa itu datang dariNya, 
Maka akan semakin kuatlah cintamu kepadaNya.
Bukannya semakin menjauhkanmu daripadaNya.

Ya, tidak aku cuba untuk menghukum.
Menghukum bahawa kau semakin lalai dan semakin alpa.
Kerana siapa aku untuk berlaku sebegitu?
Sedangkan aku sendiri masih tergapai-gapai,
Sedangkan masih banyak amalku yang tidak seiring bicara.
Dan sedangkan aku sendiri masih tidak kukuh imannya.

Namun kerana kau yang pernah ku gelar mujahid agama,
Aku seolah-olah tidak sanggup melihat hati kau dinodai dengan cintanya.
Jangan pernah kerana seorang mujahidah juga,
Kau dan dia bertukar menjadi seseorang yang meruntuhkan gelaran itu sendiri.

Akhi & Ukhti,
Jagalah hatimu.
Jagalah imanmu.
Jagalah cintamu.
Simpanlah ia hanya untuk yang berhak.
Jangan pernah sesekali kau gunakan namaNya dalam cinta nafsumu.
Andai benar cinta itu datang dari Allah semata-mata dan kau tidak inginkan kehadirannya,
Tak perlu kau cuba untuk menguar-uarkan kepadanya bahawa kau sedang bermujahadah.
Kerana aku takut,
Takut mujahadahmu itu bukan lagi keranaNya namun kerananya.

Kau, mujahidah yang aku sayangi.
Jangan pernah cuba untuk meruntuhkan iman seorang mujahid dengan keimanan yang kau punya.

Salam tulus dan sayang,
Aku.

No comments:

Post a Comment