Tuesday, December 28, 2010

Sakit. Nikmat Atau Musibah?

Kes Pertama ; Hari itu saya demam, tapi saya gagahi juga untuk ke kelas. Biasalah orang demam, mestilah senyap. Tapi, seorang kawan berkata, ‘Demam ye?banyak dosa la tu’.

Kes Kedua ; Menurut cerita abang saya, Semasa abg saya bersolat jumaat di sebuah masjid, selipar seorang sahabat dia telah hilang. Diorang pun sibuklah mencari seliparnya. Tanpa sedar, diorang diperhatikan oleh seorang pakcik lalu dengan selamba dia berkata, ’Hilang selipar ye? ni mesti sebab tak bayar zakat’.

Banyak lagi kejadian yang serupa, tapi cukuplah 2 contoh itu. Sikap manusia,sentiasa terburu-buru. Seringkali mulut yang ini bercakap tanpa ditimbang oleh rasional akal. Saya tak faham apa rasionalnya mengaitkan antara demam dengan banyak dosa dan apa logiknya selipar hilang dengan tak bayar zakat.

Sabar Orang Sakit

Benar, memang ada hadis menceritakan- Tidak akan ada satu orang, yang sekiranya pada malam harinya dia sakit lalu dia bersabar dengan sakitnya itu kecuali Allah akan mengampunkan dosa-dosanya. Hadis ini kerap didengari dan diulang-ulang. Tapi, sesekali tidak ia menyatakan tentang berapa banyak dosa kita.

Mengaitkan sakit dangan kafarah (penghapusan) dosa itu ada benarnya. Namun mengaitkan sakit dengan dosa, sangatlah pelik! Apakah hanya orang yg berdosa yg sakit? Ketahuilah, Firaun pun tidak pernah sakit seumur hidupnya. Kerana itu, dia berani mengaku sebagai tuhan. Manusia yang banyak dosa macam dia, tak ditimpa sakit pun?

Atau mungkin kita fikir sakit hanya untuk orang yang berdosa? Ketahuilah, Rasulullah s.a.w sebelum kewafatannya diserang oleh sakit yang teruk hingga menyebabkan Baginda tidak mampu berdiri memimpin solat. Baginda maksum, tapi tetap sakit.

Maka,pemahaman kita bahawa sakit ialah musibah atau bala adalah kurang tepat.Kerana sesungguhnya sakit itu ialah nikmat daripada Allah. Zahirnya, orang yang terlantar diatas katil pasti tidak akan mampu melangkah kakinya ke pusat hiburan dan tempat maksiat. Sedetik pun dia tidak akan bermimpi untuk buat jahat, kerana dia hanya menginginkan sihat.

Manusia yg sakit akan lebih mengingati Allah! Itu pasti. Hatinya akan mengingati dosa lampaunya, menimbulkan keinsafan, dan taubat. Kalau mati sempat taubat, bukankah itu satu pengakhiran yang membahagiakan?

Sakit itu nikmat! 

Allah akan mengampunkan dosa-dosa kita seluas langit dan bumi ini, sekiranya kita bersabar diuji dengan sakit. Lihatlah Nabi Ayub a.s, sakitnya yang bertahun-tahun, tidak sesekali menyebabkannya lupa kepada Allah. Sebaliknya, sabarnya itu telah meningkatkan darjatnya hinggalah diiktiraf oleh Allah di dalam Quran sebagai hamba yang penyabar.

Sakit juga satu bentuk peringatan daripada Allah. Di dalam Surah As-Sajadah ayat 21, Allah berfirman bahawa Dia pasti akan menurunkan ‘siksa yang dekat’ di dunia ini sebelum siksaan yang sebenar di akhirat dengan harapan semoga orang fasik dan kafir kembali kepada kebenaran. Betapa Allah menginginkan agar kita terselamat daripada neraka yang pedih.

Orang yang sakit juga akan ‘menikmati’ kasih sayang dan perhatian yang lebih. Hubungan kekeluargaan akan menjadi kembali erat. Hubungan silaturrahim juga akan semakin kuat. Bermaaf-maafan, bertukar-tukar doa dan juga nasihat. Bertepatan dengan satu sabdaan Baginda tentang tanggungjawab seorang muslim terhadap saudara muslimnya yang lain. Salah satunya ialah dengan menziarahi orang sakit.

Seperkara lagi, Doa orang yang sakit ini sangat dimakbulkan. Mungkin orang yang tak berfikir panjang akan kecewa kerana mungkin sudah lama berdoa dan berubat namun tidak juga sembuh. Harus diingat! tidak semestinya doa kita ni Allah jawab di dunia. Mungkin Allah akan beri diakhirat nanti dan itu lebih baik kerana saat itu, kita masing-masing helpless. Harta sudah hilang nilai, yang bernilai cuma amal soleh, tapi amal soleh sangat sedikit! Mudah-mudahan, doa ini akan ‘topup’ pahala kita.

Allah tidak menyusahkan kita

Ujian-ujian untuk kita diberikanNya sesuai dengan kemampuan kita. Saat sakit ini, kita perlu banyakkan taubat, bermuhasabah dan berdoa, supaya kita terselamat daripada neraka. Rasionalnya? Lebih baik terselamat daripada neraka daripada terselamat dari menghidap mati kanser.

Sebabnya?
Bukankah, kalau bukan kerana kanser pun, manusia tetap akan mati?
Lebih utama, takutkan neraka. Bukan takut diserang kanser.

Kesimpulan

Sementara diri tengah sihat, tidakkah diri rasa terpanggilkah untuk beramal?

P/S : Jangan salah faham. Artikel ini bukan membicarakan tentang ‘perlu sakit’ sebaliknya ia lebih kepada ‘jambangan bunga’ kepada orang sakit. Dan harus diingat, kita wajib menjaga kesihatan.

No comments:

Post a Comment