Saturday, December 25, 2010

Tarbiyah ~ Muliakah?

‘Ana nak tanya antum. Apa hebatnya kita ini berbanding orang-orang yang tidak duduk di dalam halaqah ini?’, bibir tua itu mengukir senyum. Tersirat.

‘Ada sesiapa yang boleh jawab?’

Lalu seorang anak muda bangkit mahu menjawab. ‘Ustaz. Pada pandangan ana, kita berbeza kerana kita ditarbiyyah’.

‘Lalu, apa yang enta maksudkan dengan tarbiyyah itu?’

Terdiam sebentar anak muda itu. ‘Ustaz, bagi ana, ana merasakan tarbiyyah itu seperti satu tembok yang memisahkan diri ana dengan orang-orang yang sedang sibuk bergelumang dengan duniawi’.

Semakin lebar senyum si guru tua itu. ‘Jazakallah. Bagaimana dengan orang lain?’

‘Ana, ustaz’. Seorang pemuda yang lain menggangkat tangan. ‘Ana mahu beri pandangan. Ana rasa, kita mulia kerana kita melaksanakan dakwah kerana dakwah inilah jalan hidup para rasul dan orang-orang beriman’. Penuh semangat bicaranya. Semua mata yang berada di bilik kecil itu memandangnya dan mengangguk-angguk tanda setuju dengan bicara anak muda berkopiah coklat itu.

Guru tua itu menarik nafas, mahu menyambung bicara. Riak wajahnya masih tenang seperti tadi.

‘Anak-anak ku. Apa mulianya kita ini? Antum kata kita ditarbiyyah. Antum kata kita berdakwah. Adakah ini kemuliaan yang sebanar?’

‘Mengapa ustaz? Salahkah?’, potong seorang pemuda.

‘Yalah ustaz. Bukankah Rasulullah juga ditarbiyyah? Dan bukankah Rasulallah juga berdakwah?’, lelaki yang lain pula menambah.

Guru tua itu senyum sahaja. Matanya memandang wajah bersih anak-anak muda yang berada di sekelilingnya.

‘Anak-anakku. Tidak dinafikan, Rasulallah juga berdakwah dan Rasulallah juga ditarbiyyah. Tarbiyyah yang direct datang daripada Allah melalui perantaraan Jibril a.s . Rasulallah juga berdakwah, tanpa penat, jemu, lelah, dan putus asa’.

Keadaan sepi sebentar.

‘Namun anak-anakku, adakah dakwah dan tarbiyyah yang kita lalui ini menjanjikan kemuliaan bagi kita disisi Allah? Tidak. Tidak. Lupakah antum akan apa yang Allah kata tentang kemuliaan? Allah sebut dalam surah al-Hujurat, bahawa sungguh! kemuliaan itu hanyalah bagi orang yang bertaqwa’.

Pemuda-pemuda di sekelilingnya mengaguk-angguk tanda faham. Antara mereka, ada yang mencatat sesuatu.

‘Taqwa. Satu perkataan tapi ianya sangat besar maksudnya. Di dalam taqwa lah, wujud dakwah dan wujud juga tarbiyyah’

‘Tadi, saudara kita ada berkata bahawa kita mulia kerana tarbiyyah dan dakwah. Ana terkejut juga sebenarnya. Apa kita layak mengatakan diri kita, satu produk tarbiyyah sedang kita hanya menjadi taqwa di dalam halaqah ini?  Dan apa kita merasa kita layak mendapat kemuliaan dan taqwa sedang kita hanya berdakwah, dalam halaqah ini?’

Anak-anak muda itu senyap. Mereka ternanti-nanti bicara seterusnya dari guru yang sangat mereka kagumi itu.
‘Anak-anakku. Apa itu taqwa sebenarnya? Taqwa itu ialah kehidupan kita, bukannya lakonan kita. Taqwa bukan sesuatu yang boleh dibuat-buat kerana kewujudannya sangat seni dan halus’.

‘Ana memetik kata-kata Imam Ghazali tentang akhlak. Akhlak ialah apa yang keluar dari dalam diri kita secara automatik, tanpa perlu kita fikir. Tahukah antum semua, akhlak ini adalah lambang dan bukti wujudnya taqwa?’

Mereka menggangguk.

‘Dan, islam juga bukan satu sandiwara. Ia juga bukan satu aktiviti. Ia adalah cara hidup. Apa yang berlaku sekarang, ana lihat dalam banyak keadaan kita berasa diri kita ini mulia kerana kita join usrah, tabligh atau mana-mana jemaah sedangkan dalam masa yang sama, ketaqwaan kita tidak ditonjolkan’.
‘Antum faham tak maksud ana?’

“Kurang faham…”, hampir serentak anak-anak muda itu menjawab.

‘Beginilah. Antum perlu faham bahawa taqwa itu ialah apa yang perlu ada dalam diri kita setiap saat, bukannya hanya ketika dalam halaqah atau semasa berdakwah. Tidak! Sebaliknya taqwa wajib wujud dalam diri antum setiap saat, setiap masa’.

‘Antum tahu apa tuntutan taqwa?’

‘Senang nak faham, taqwa memerlukan kepada penghayatan. Dan siapakah qudwah atau model insan bertaqwa? Semestinya Rasulallah. Antum lihat sirah. Lihat bagaimana Rasulallah berdakwah. Dakwahnya bermacam-macam cara. Dari sekeras-keras mata pedang, hinggalah kepada selembut-lembut roti yang disuap ke mulut wanita tua dan buta yang mencaci Baginda, dakwah tetap bergerak’.

‘Ustaz, boleh cerita tentang wanita Yahudi itu? Ana kurang faham’. 

‘Wanita Yahudi itu sangat tua dan buta. Tapi, tersangat kuat kebenciannya kepada Rasulallah. Setiap hari, Rasulullah akan datang kepadanya untuk memberinya makan. Setiap kali itulah, wanita itu akan mengata Baginda kerana dia tidak tahu bahawa yang memberinya makan itu ialah Baginda. Baginda s.a.w sendiri menghancurkan roti di mulutnya sebelum disuap ke mulut wanita itu kerana mahu memudahkan wanita itu makan’.

‘Rasulullah datang dan melaksanakan perkara yang sama hari-hari. Memberi makan, dan menerima cacian. Tiap kali itu jugalah, Baginda akan tersenyum dan diam. Amalan Baginda berterusan hingga Baginda wafat. Lalu, Saidina Abu Bakar menggantikan Rasulallah memberi makan kepada wanita itu. Tapi malang, wanita itu tahu bahawa yang memberinya makan bukan orang yang sama, tapi orang yang lain kerana layanannya tidak selembut layanan Rasulallah. Lalu, wanita itu bertanya dimana manusia yang sangat baik yang memberinya makan sebelum ini. Lalu dijawab dalam tangis rindu Saidina Abu Bakar bahawa lelaki itu ialah Rasulallah. Wanita itu masuk islam akhirnya’.

Subhanallah.

‘Anak-anakku, untuk kita menegakkan islam, kita harus terlebih dahulu meleburkan takbur kita. Kita merasa kita hebat kerana kita berilmu. Tidak dinafikan, memang kita alim, banyak ilmu. Tapi apa gunanya alim kita jika diselit takabbur?’

Semua orang tunduk. Bermuhasabah diri.

‘Ana berpesan sungguh-sungguh kepada diri ana, jua kepada antum semua. Jangan kita merasa diri kita hebat hingga dengan mudah, kita label orang itu sebagai ‘tertutup hati’ dan seumpanya. Seperkara lagi, taqwa itu bukan hanya mesti dilahirkan semasa kita liqo’ dan duduk dalam halaqah, sebaliknya ia harus dizahirkan dalam setiap inci perbuatan kita’.

‘Ketahuilah juga bahawa bukan amal soleh kita yang memasukkan kita kedalam syurga, sebaliknya yang memasukkan kita kedalam syurga ialah keampunan dan rahmat Allah. Amal soleh hanyalah kerana perintah Allah. Maka,jangan sesekali kita berasa amal kita ini hebat. Belum tentu’.

‘Belum tentu orang yang ditarbiyyah dan berdakwah ini baik. Tapi orang yang baik, tentu akan ditarbiyyah dan berdakwah. Inilah sebenarnya yang sedang kita cuba lakukan. Moga-moga Allah terima usaha kerdil kita ini’.

Guru tua itu menghabiskan bicaranya. Kelihatan, anak-anak muda disekelilingnya seperti sedang kesedihan, mungkin kerana ‘terkesan’. Maka, guru tua itu membacakan firman Allah dalam surah Al-Qasas ayat 77: “Dan carilah pahala akhirat dengan apa-apa yang telah Allah kurniakan kepadamu…”

 ***********

Semoga kita semua faham, bahawa agama itu bukannya sesuatu yang sifatnya ‘sekejap ada-sekejap tiada’. Agama juga bukan sesuatu yang harus dipakai dalam situasi-situasi tertentu sahaja. Dan agama juga bukan sesuatu yang boleh dijual-jual untuk mendapatkan kemahsyuran atau sanjungan.

Sebaliknya agama ialah pakaian. Maka, tutuplah keaiban diri kita dengan menjadi orang beragama.
Ingat, kita bukan Tuhan yang boleh menghukum orang yang tidak mahu tarbiyyah dan tak mahu menerima dakwah. Sebaliknya, kita lihat diri kita. Sejauh mana tarbiyyah itu berjaya membentuk kita menjadi hamba.

Sesungguhnya, kita hanyalah makhluk yang asalnya setitis mani…hina..dan akan terus hina tanpa redha-Nya.

Artikel ini untuk diri saya. Agar saya mampu bermuhasabah diri.

Astaghfirullah…
Astaghfirullah…
Astaghfirullah…

Jazakumullah =)

No comments:

Post a Comment