Sunday, September 25, 2011

Tuhan, Izinkanlah! Cuma ingin Engkau yang bertakhta di hati ini!

Di pelataran dinginnya malam, aku terdampar sendiri.


Saat ini, tika ini, hati seakan-akan terdera dengan amukan hawa nafsu dan perasaan yang mengetuk-ngetuk tangkai hati. Tidak semena-mena, titisan jernih jatuh, setitis demi setitis. Hati sebak.

Dibiarkan air jernih itu mengalir hangat. Berlawan dengan emosi, ternyata seringkali diriku menjadi kalah, menjadi tewas. Nurani membentak, jiwa ini tidak tenang. Kenapa? Kenapa begini? Kenapa sekarang jadi begini?


Dulu hati itu dapat merasai sebuah ketenangan. Namun kini ketenangan itu seakan-akan diragut. Diragut oleh siapa? Apakah ia hilang ditarik oleh Tuhan? Atau kerana dosa-dosa yang dilakukan? Soalan-soalan itu bertubi-tubi menyoal, namun hati sememangnya tidak mampu menjawab. Terdiam sepi. Adakah hati itu telah mati?


Memang tidak ku nafikan, kasih dan rindu padanya sering bertandang ke hati. Tetapi berkali-kali ku ingatkan pada diri, kasih sayang itu tidak abadi!


'Berpada-padalah dalam menyayangi, jika tidak kelak dikau akan menangisi!'


Entah dari mana suara itu datang dan berbisik pesanan, kemudian hilang.


Namun kini, aku pula yang terkena panahan kasihnya itu. Semakina ku lari, semakin dia mendekati. Benarlah. Menjaga sekeping hati amat sukar sekali. Perlu sangat cermat dan berhati-hati. Aku mengeluh, melepaskan sebuah keluhan perasaan yang berat, yang semakin memberati rasa hati.


Jiwa ini tidak lagi suci, terasa ia tersangat kotor.
 

"Ya Ilahi, di manakah Engkau selama ini yang bertakhta di hati? Kenapa ia sekarang telah terganti dengan makhlukMu? Kenapa diri terlalu tega menggantikan tempat teragung itu dengan insan dan makhlukMu yang hina?"


Hati bermonolog lagi sendirian. Tidak! Ia punya peneman. Sang Tuhan yang sentiasa ada mendengar setiap keluhan.


"Astaghfirullahalazim... Ighfirli Robbi... Ighfirli..."


Bibir memantulkan kalimah suci itu perlahan-lahan. Bibir diketap erat. Menahan tangkai emosi yang kian membuak-buak rasa pilu dan syahdu bila menyebutkan nama terindah itu, jiwa menjadi mudah terusik.

Berbicara dengan Sang Agung, air jernih itu terus menitis kemudian semakin mencurah-curah. Teresak-esak.


"Ya Rabbi, pegang hati ini, dakaplah ia seerat-eratnya, jangan sesekali biarkan ia termiliki oleh makhlukMu, ku tidak sanggup menggantikan tempatMu dengan yang lain, tidak sanggup juga berkongsi rasa itu, ku cuma mahu kasih itu teragung untukMu, ku cuma mahu rindu itu terpatri untukMu, ku cuma mahu cinta itu hanya membunga untukMu Tuhan, jangan biarkan daku terkalahkan dengan emosi dan perasaan yang seringkali dipermainkan oleh syaitan.


Ya muqallibal qulub, tetapkanlah jiwa ini setulusnya di jalanMu, pancarkan cahaya bagiku di jalan yang gelap agar aku tidak teraba-raba kesepian sendirian di hujung jalan yang kelam, jangan biarkan ku terus begini tanpaMu disisi.
 

''Tuhan, Izinkanlah! Cuma ingin Engkau yang bertakhta di hati ini''
 

Berkali-kali kalimah itu diungkapkan pilu dalam pelantaran sujudnya. Wajah diraup setelah tangan menadah. Hati terus berdoa dan berharap, semoga Dia menerima segala-galanya~ 


Friday, September 23, 2011

Usrah; Kerana Kamu Yang DipilihNya Untuk Menemani Hariku


Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Maaf sahabat,
Andai muzakarah kali ini agak mengejut bagi kalian,
Namun tidak lain tidak bukan,
Aku lakukan semua ini kerana rasa cinta, kasih dan sayang yang hadir di hati-hati yang sedang bertaut keranaNya.

Maaf jika aku seolah-olah berlagak sempurna,
Maaf jika perlakuan aku menimbulkan su'uzhon buat kalian,
Tapi kerana kalian yang ku gelar sahabat,
Pedih sekali di sudut qalbi untuk mengiyakan suatu perkara yang tidak seharusnya.

Aku cuma takut,
Takut andai aku tidak sempat diberi kesempatan lagi untuk menegur dirimu,
Takut andai di akhirat kelak,
Kau akan datang memohon dibahagikan dosa sama kepada ku kerana aku tidak menegur dirimu~


Sahabat,
Maaf.
Maaf andai diri ini masih belum sempurna untuk menegur~
Tapi, sejujurnya.
Sekali mulut ini menitikan kata cinta kepada kalian kerana Allah,
Sekali & selamanya jugalah hati ini inginkan kalian benar-benar kepada & kerana Allah~

Monday, September 12, 2011

#Part 3; Kerana Aku Sayangkan Kamu KeranaNya


My dear ukhti,
Sudah agak lama tangan ini tidak menari untuk bertinta menulis warkah kepadamu,
Sejujurnya, bukan aku jemu.
Malahan jauh sekali untuk berhenti mengajakmu kembali.

Apa khabar imanmu, puteri harapan Islam?

Apa khabar hatimu, duhai srikandi ad-Deen?
Doaku, mohon agar Dia sentiasa memegang hatiku & hatimu,
Jangan pernah sekali dilepaskan kepada kita yang alpa ini.

Ukhtiku,
Aku rindu melihat srikandi-srikandi Islam terdahulu.
Apakah mungkin lagi barangkali, untuk melihat bayang-bayang wanita terdahulu itu pada generasi kita abad ini?
Allah, astaghfirullah~
Untuk bertanyakan soalan seperti ini juga,
Sudah terasa hina aku dibuatnya.
Merindukan sahaja belum cukup.
Belum cukup, andai tidak dibuktikan dengan usahaku.

Jika aku rindu dan aku ingin,
Maka akulah yang terlebih dahulu harus menggerakan usaha itu.
Tapi aku mohon padaNya,
Agar kau turut bersamaku dalam barisan untuk mengembalikan qudwah terdahulu itu~
Oleh kerana itu,
Warkah ini ku coretkan lagi.

Ukhti ku sayang,
Maaf jika aku teragak lancang untuk mengatakan,
Bahawa langkahmu kini ku lihat agak tersasar.
Maaf, maaf.
Aku tidak bermaksud untuk menghukum dirimu yang jauh lebih sempurna imannya dariku.
Tapi jujur,
Aku rindu.
Dan aku inginkan dirimu yang dahulu.
Yang dahulunya menjadi qudwah bagiku untuk berubah,
Sehingga di tahap mana aku berada sekarang.

Namun,
Mengapa sekarang kau ingin membiarkan aku tergapai-gapai sendiri dalam mujahadah ini?
Mengapa langkah kau semakin jauh dari tempat aku bertapak kini?
Ukhtiku, kembalilah.
Kembalilah ke tempat di mana kau dahulu bertapak.
Kembalilah menjadi seorang nisa' yang sangat menjaga rapi hatinya.
Seorang nisa' yang mampu untuk melawan segala bisik syaitan dihati.
Yang selalu menjadi contoh tauladan bagiku dahulu, dan kini.

Sayangku,
Aku tahu kau kuat.
Malah, lebih kuat dari aku untuk menghadapi ujian hati.
Namun apakah kau tidak menyedari bahawa kau sekarang sedang melonggarkan penjagaan hatimu?
Ya, tidak salah.
Tidak salah dari segi hukum syara' apa yang kau lakukan,
Namun, jika berterusan kau lakukan,
Maka perkara lain yang kau timbulkan.
Jangan cuma di fikir hukumnya sayangku,
Namun fikirlah akibat dan asbab kenapa kau melakukannya.

Kalau benar kau ingin cintamu bertapak hanya padaNya,
Lupakan.
Lupakan segala yang akan membawamu jauh daripadaNya.
Ya, aku & Dia tidak menjanjikan kemudahan bagi mujahadah yang bakal kau tempuhi ini,
Namun jika kau yakin Dia bersamamu,
Dan jika kau yakin pada kalamNya,
Kau akan dapati kemudahan di sebalik semua ini.

Dear,
Peganglah kata-kataku,
Selangkah kau mendekati seorang ajnabi, selangkah juga kau berlalu menjauhiNya.
Jangan, jangan biarkan Dia cemburu,
Kerana di hatimu ada bertapak cinta daripada seorang makhluk yang tidak halal.
Mujahadah sayangku,
Mujahadah!
@Part I

@Part II 


No worries dear, He's still waiting, and forever will~

Friday, September 9, 2011

Sudahkah Kau Lupa Duhai Akhi Fillah?



Akhi~
Kau yang pernah dan masih aku kagumi kerana agamamu.
Mengapa harus dibuka ruang di hatimu untuk menempatkan cinta makhluk selain cinta Rabbmu?

Mengapa nur yang dahulunya aku lihat di wajahmu,
Semakin pudar di mataku?
Apakah mungkin kerana aku yang tidak layak untuk melihat nur itu?
Ataupun kerana semakin kelamnya hatimu dengan cinta makhluk itu?

Ya, tidak aku menyalahkanmu atas hadirnya perasaan itu.
Namun, kau.
Kau yang aku sangkakan kental dan bahkan mustahil untuk rebah kerana seorang wanita,
Aku lihat semakin ke arah itu.

Akhi~
Meskipun bukan kata cinta yang kau ungkapkan,
Jangan pernah cuba untuk menyiratkan ia dalam kata suratanmu.
Jangan pernah kau cuba untuk palsukan cinta nafsumu dengan cinta dari Allah.

Apakah kau sudah lupa?
Bahawa jika cinta dan rasa itu datang dariNya, 
Maka akan semakin kuatlah cintamu kepadaNya.
Bukannya semakin menjauhkanmu daripadaNya.

Ya, tidak aku cuba untuk menghukum.
Menghukum bahawa kau semakin lalai dan semakin alpa.
Kerana siapa aku untuk berlaku sebegitu?
Sedangkan aku sendiri masih tergapai-gapai,
Sedangkan masih banyak amalku yang tidak seiring bicara.
Dan sedangkan aku sendiri masih tidak kukuh imannya.

Namun kerana kau yang pernah ku gelar mujahid agama,
Aku seolah-olah tidak sanggup melihat hati kau dinodai dengan cintanya.
Jangan pernah kerana seorang mujahidah juga,
Kau dan dia bertukar menjadi seseorang yang meruntuhkan gelaran itu sendiri.

Akhi & Ukhti,
Jagalah hatimu.
Jagalah imanmu.
Jagalah cintamu.
Simpanlah ia hanya untuk yang berhak.
Jangan pernah sesekali kau gunakan namaNya dalam cinta nafsumu.
Andai benar cinta itu datang dari Allah semata-mata dan kau tidak inginkan kehadirannya,
Tak perlu kau cuba untuk menguar-uarkan kepadanya bahawa kau sedang bermujahadah.
Kerana aku takut,
Takut mujahadahmu itu bukan lagi keranaNya namun kerananya.

Kau, mujahidah yang aku sayangi.
Jangan pernah cuba untuk meruntuhkan iman seorang mujahid dengan keimanan yang kau punya.

Salam tulus dan sayang,
Aku.